AR] Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan penuh keberkatan. Hebatnya bulan yang mulia ini digambarkan melalui satu hadis Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam yang bermaksud:
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walaupun satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walau satu pintu. Penyeru pun menyeru: ’Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah! Dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah! Dan (yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan daripada api neraka’, dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam (Ramadhan) [Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah].
Bagi setiap umat Islam yang melaksanakan ibadah puasa, Allah Subhanahu Wa Taala menjanjikan bonus yang amat lumayan sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam yang bermaksud: Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azzawajalla berfirman:
“Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa, lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim].
Berbicara soal puasa, tidak lengkap rasanya jika tidak membicarakan tentang kelebihan sepuluh malam terakhir Ramadhan dan Lailatul Qadar. Ini adalah disebabkan di salah satu dari malam-malam terakhir inilah adanya tawaran paling lumayan yang amat rugi jika dilepaskan begitu sahaja. Junjungan besar Muhammad Sallallahu ’alaihi wasallam sendiri memperbanyakkan ibadah pada malam-malam tersebut sebagaimana yang diceritakan oleh isteri baginda, Saidatina A’isyah Radhiallahu ’anha:
“Rasulullah Salallahu ’alaihi wasallam apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (dengan ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam beribadah) dan uzlah (mengasingkan diri) dari isteri-isteri baginda” [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim].
Ketika Sautun Nahdhah ini dinukil, suasana menjelang Syawal telah mulai dirasai dimana-mana. Gedung-gedung membeli belah yang menawarkan jualan murah penuh sesak dengan para pembeli yang tidak mahu ketinggalan melengkapkan persiapan di saat akhir. Di malam hari, lampu-lampu berbentuk ketupat menghiasi ibu kota Kuala Lumpur menjadikan pemandangan malam sungguh indah. Tidak ketinggalan para ibu mula membuat atau membeli kuih muih untuk dihidangkan di hari yang mulia ini. Irama polifonik bertemakan lagu-lagu aidil fitri mula kedengaran melalui telefon-telefon bimbit. Di pasar Ramadhan juga, mercun mula dijual. Senario ini dirancakkan lagi dengan program “Syoknya Raya”, sebuah rancangan tajaan Telekom Malaysia yang disiarkan oleh TV3, menggamit perasaan tidak sabar untuk menunggu fajar Syawal menyinsing. Era globalisasi yang menyaksikan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) seolah menggalakkan fenomena tidak sabar meninggalkan Ramadhan.
Dalam kesibukan dan kegembiraan inilah, Sautun Nahdhah ingin mengungkap realiti masa kini dan sikap serta perlakuan kaum Muslimin di zaman silam, sebagai suatu pengajaran yang diharap akan dapat menimbulkan kesedaran di kalangan umat hari ini - mengapakah mereka begitu mudah melakukan aktiviti taqarrub kepada Allah (mendekatkan diri kepada Allah) berbanding umat Islam hari ini. SN juga akan menyentuh sebab-musabab yang menjadikan kehidupan umat hari ini sangat jauh dari Islam, samada di dalam atau di luar bulan Ramadhan.
Lailatul Qadar
Lailatul Qadar adalah suatu malam yang mempunyai keberkatan dan keistimewaan yang cukup besar. Ia merupakan saat dan ketika yang ditunggu-tunggu oleh semua orang yang beriman kerana pelbagai keistimewaan berikut:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al Quran) pada malam Lailatul Qadar” [TMQ Surah Al Qadar:1]
“Malam Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan” [TMQ Surah Al Qadar:3]
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al- Quran itu pada malam Yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana Sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (Kami menurunkan Al-Quran pada malam Yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara Yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)” [TMQ Surah Ad-Dukhan:3-4]
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa: “Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang lalu.” Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.
Amalan Nabi dan Sahabat di bulan Ramadhan
Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah Salallahu ’alaihi wasallam dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya adalah:
Mandi, berpakaian indah dan berharumharuman Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadhan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadhan.
Melaksanakan solat sunat, i’tikaf dan membaca al-Quran. Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al- Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin ‘Ash bermaksud: “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai”
Jika kebanyakkan kaum Muslimin beranggapan bahawa amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah Salallahu ’alaihi wasallam dan para sahabat hanya tertumpu kepada aktiviti ibadah berbentuk ruhiyyah (spiritual), sesungguhnya ia adalah tanggapan yang meleset sama sekali. Baginda Salallahu ’alaihi wasallam dan para Sahabat bahkan sering mengisi bulan Ramadhan dengan jihad (perang) seperti yang terjadi pada Perang Badar al- Kubra pada tanggal 17 Ramadhan.
Dapatkah kita bayangkan, betapa beratnya berpuasa sambil menghayun pedang, memegang perisai besi, menyabung nyawa, di bawah terik matahari, di atas padang pasir yang gersang? Kehidupan pada masa Rasulullah Salallahu ’alaihi wasallam dan Khulafa’ ar-Rasyidin adalah kehidupan penuh revolusi kerana mereka merintis perjuangan membebaskan dunia dari kegelapan dan kezaliman, lalu mengubahnya menjadi kehidupan yang disinari cahaya Islam dan dipenuhi keadilan.
Pada malam bulan Ramadhan, para Sahabat yang pada awalnya bersolat tarawih sendirian telah disatukan oleh Khalifah Umar dalam satu jamaah solat tarawih dan memerintahkan Ubay bin Kaab agar menjadi imamnya. Diceritakan bahawa dalam setiap rakaat, Ubay membaca lebih kurang 100 hingga 200 ayat setelah membaca al-Fatihah. Setiap selesai dua rakaat, biasanya mereka akan berehat dahulu sehingga dipanggil “solat tarawih”. Mereka menghabiskan 2 hingga 3 jam setiap malam untuk bertaqarrub kepada Allah Subhanahu Wa Taala melalui solat tarawih tersebut.
Alangkah hebatnya keperibadian Rasulullah Salallahu ’alaihi wasallam dan para sahabat yang amat ringan melakukan aktiviti taqarrub ilalLah (mendekatkan diri kepada Allah) tanpa sekadar hanya melibatkan ibadah ruhiyyah semata-mata.
Realiti Masa Kini
Bila diperhatikan situasi umat Islam masa kini, kita akan dapat melihat suatu keadaan yang amat menyedihkan. Disatu sisi, kita melihat umat Islam amat ghairah menjelang saat-saat akhir sebelum Pemegang Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan penetapan tarikh Syawal bagi bumi Islam Hadhari ini. Kepada pembeli, semua senarai semak (checklist) telah disiapkan. Berapa pakaian baru hendak dibeli, apa perabut yang perlu ditukar, kedai mana yang akan menyiapkan langsir. Kaum-kaum ibulah yang paling sibuk sekali. Gara-gara menyiapkan kuih, menjahit baju dan langsir, aktiviti bersolat tarawih, bertadarrus dan melakukan qiamullail yang sepatutnya direbut, malah diremehkan.
Kaum bapa juga tak kurang sibuknya. Ada yang sibuk mengecat rumah, mencari buluh untuk dibuat meriam, memasang lampu dan lain-lain. Kepada para penjual pula, amat rugi rasanya jika tidak berniaga di pasar dan bazar Ramadhan. Peningkatan harga minyak yang mencetuskan perang naik harga mendorong pendatang-pendatang baru di arena perniagaan mencuba nasib untuk mendapatkan wang yang cukup menjelang Syawal. Semuanya menjurus pada satu tujuan iaitu menyambut Syawal dengan penuh kemeriahan dan gilang-gemilang.
Di bulan Ramadhan ini juga, ungkapan ’Bapak Syaitan, Anak Syaitan, Cucu Syaitan, Ipar-duai Syaitan semua kena ikat’ menjadi terlalu biasa di gegendang telinga. Amat memilukan tatkala spesis Syaitan terpaksa menjalani perintah berkurung, masih wujud sebilangan umat Islam yang kena tangkap kerana tidak berpuasa, masih ada anak teruna dan gadis yang duduk di celah-celah pokok dilindungi sinaran neon, sementara yang lain-lain terlalu asyik membeli belah dan menyiapkan peralatan rumah hingga tidak sempat ke masjid atau surau.
Disisi lain, kita menyaksikan media-media arus perdana dan alam siber dipenuhi dengan artikel yang menyeru agar umat Islam berlumba-lumba mengerjakan amal kebajikan khususnya di sepuluh malam terakhir. Hikmat Ramadhan juga menyaksikan umat Islam begitu sensitif dengan perbuatan mereka. Kaum Muslimat mengenakan pakaian sopan dan bertudung. Kaum muslimin mula menjaga pandangan mata.
Pendeknya, aktiviti kemaksiatan yang sering dilakukan di luar bulan Ramadhan dihentikan seketika. Malangnya, mereka hanya sekadar menekan kekunci ’pause’, bukan ’delete’, seolaholah berakhirnya Ramadhan adalah lesen untuk berbuat dosa. Apakah penyebab semua ini? Adakah kita terpaksa menyaksikan fenomena sebegini tahun demi tahun? Apakah formula paling mujarab untuk menyelesaikannya?
Masalah Akar
Realiti yang kita saksikan pada hari ini tidak lain adalah disebabkan tidak wujudnya Islam yang diterapkan secara keseluruhan (kaffah) di dalam kehidupan melainkan sekadar mengatur ibadah ruhiyyah atau ibadah ritual semata-mata. Rentetan dari fenomena ini, kita mendapati umat Islam menggambarkan aktiviti taqarrub ilalLah hanya sekadar solat tarawih, bertadarus dan melakukan qiamullail.
Kekejaman sekularisme menyebabkan Islam terpisah dari kehidupan (fasluddeena ’anil hayah) sehingga taqarrub ilalLah dimanifestasi sebagai aktiviti yang sempit ruang lingkupnya. Umat Islam berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan suasana menjelang lebaran tetapi tidak bersungguh-sungguh mewujudkan suasana keimanan yang tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Inilah yang berlaku apabila tolok ukur perbuatan (miqyas al-’amal), pandangan hidup, pemikiran dan perasaan umat Islam sangat jauh dari Deennya.
Mencari Keredhaan Sejati
Tidak salah kita memperbanyakkan aktiviti ibadah ritual kerana bulan Ramadhan memanglah bulan penuh keberkatan. Namun begitu, hendaklah peningkatan amalan kita pada bulan Ramadhan tidak sekadar ditambah solat tarawih, makan sahur, dan buka puasa. Masih banyak yang lain seperti tadarus al-Quran, bersedekah, berzikir dan berdoa; juga pada perkara-perkara lain yang bukan berbentuk ritual seperti berbuat baik kepada orang tua, memberi makan orang yang lapar, menolong orang yang memerlukan, membantu saudara seMuslim menyelesaikan masalahnya, mengkaji ilmu dan lainlain. Dalam sebuah hadis qudsi dikatakan bahwa Allah Subhanahu Wa Taala paling menyukai para hamba-Nya yang bertaqarrub kepada-Nya dengan melaksanakan apa sahaja yang difardhukan oleh-Nya. Apa yang difardhukan oleh Allah Subhanahu Wa Taala itu tentulah tidak terbatas pada rukun Islam semata-mata.
Bagi seorang suami, bekerja mencari nafkah untuk menafkahi anak isteri adalah bentuk taqarrub kepada Allah. Bagi seorang pemilik hotel, memutuskan untuk tidak menghidangkan minuman keras, dan menghapuskan berbagai kemaksiatan yang lain dari hotelnya adalah satu bentuk taqarrub kepada Allah Yang Maha Melihat.
Bagi seorang hakim, memutuskan perkara dengan hukum syarak, hukum yang diturunkan Allah Subhanahu Wa Taala, adalah suatu bentuk taqarrub kepada Dia Yang Maha Adil. Bagi pemerintah, menerapkan hukum syarak secara kaffah dalam menjalankan roda pemerintahan adalah juga salah satu bentuk taqarrub kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Bagi seorang pemilik bank, mengambil keputusan untuk menghapus bunga (riba) di banknya adalah bentuk taqarrub yang dicontohkan Nabi Salallahu ’alaihi wasallam.
Bagi seorang pakar ekonomi, menyelesaikan masalah-masalah ekonomi dengan penyelesaian berdasarkan hukum syarak juga termasuk taqarrub kepada Allah Yang Maha Kaya. Malah sebarang bentuk amalan yang berujuan hanya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah merupakan bentuk taqarrub kepada Allah. Yang penting, Islam itu dipamerkan dalam setiap perbuatan, bukan sekadar setakat menjalani ibadah puasa dan menunaikan solat semata-mata.
Memanfaatkan Ramadhan untuk Mendalami Islam
Ketaqwaan yang lebih tinggi di bulan Ramadhan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk memahami Islam dengan lebih mendalam. Contohnya melakukan aktiviti tadarus iaitu membaca al-Quran dan mengkaji maknanya menurut penjelasan para mufassir yang mu‘tabarah, misalnya Jalalain dan Ibnu Katsir dari tafsir lama, atau Tafsîr fî Zhilâl al- Qur’ân Sayyid Quthb dan Shafwah at-Tafâsîr ash- Shabuni untuk tafsir mutakhir. Ini adalah kerana ramai dikalangan umat Islam ini yang belum memiliki gambaran umum tentang kehidupan Islam, termasuk dasar-dasar pemahaman Islam. Sayugia, alangkah bagusnya jika dapat dianjurkan daurah (program atau kursus) di masjid atau di luar masjid untuk mengkaji konsep-konsep dasar Islam seperti syakhshiyyah Islam, aqidah Islam, syariat Islam dan dakwah Islam.
Demikian juga daurah tentang gambaran peradaban Islam dalam masalah ideologi atau mabda’ Islam, politik Islam (as-siyâsah al-islâmiyyah), ekonomi Islam (nizhâm al-iqtishâdi fi al-Islâm), sistem sosial Islam (nizhâm al-ijtimâ‘i fî al-Islâm), budaya Islam (tsaqâfah dan hadhârah Islam) dan sistem pertahanan dan keamanan Islam (al-jaisy al-islâmî dan hukum-hukum berkenaan al-jihâd wa alqitâl). Dengan gambaran umum mengenai kehidupan Islam yang utuh dan menyeluruh, umat Islam akan semakin terdorong untuk mendekatkan diri kepada Allah dan akan muncul ghîrah perjuangan untuk mewujudkan gambaran tersebut dalam kehidupan nyata.
Khatimah
Dimana pun bumi dipijak dan langit dijunjung, setiap Muslim berkewajiban memahami dengan sejelasjelasnya apa yang perlu dilakukan untuk meraih keredhaan sejati. Caranya tidak lain dan tidak bukan adalah dengan kembali kepada kehidupan Islam yang mana cahaya keimanan dan ketaqwaan itu terpancar di setiap aspek perbuatan. Islam wajib dilaksanakan secara total (kaffah) pada setiap masa, dimana jua.
Kesedaran akan wujudnya hubungan antara kita dengan Allah (idrak sillah billah) harus termanifestasi pada setiap ketika, samada di bulan Ramadhan, Syawal atau lain-lain bulan. Apa yang amat diperlukan adalah nuansa Islam yang terus kekal di sepanjang masa. Suasana ketaqwaan ini tidak akan dapat wujud dengan sebenar-benarnya tanpa kewujudan kehidupan Islam yang total.
Kehidupan Islam seperti ini akan dapat diwujudkan sekiranya hukum syara’ dijalankan secara menyeluruh dan ini hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan semula Sistem Pemerintahan Islam dimana seorang Khalifah akan diberi mandat untuk melaksanakan Islam secara kaffah - yang akan dapat mewujudkan suasana keimanan (jawwul imaani) agar ketaqwaan terpancar melalui keperibadian setiap individu Muslim tanpa mengira musim.
Justeru, akan lahirlah umat Islam yang bukan sekadar menanti-nanti kedatangan Ramadhan dan menangisi pemergiannya; bukan juga sekadar berlumba-lumba mengejar Lailatul Qadar namun akan turut bertungkus-lumus melaksanakan kefardhuan dan meninggalkan larangan-Nya dalam setiap aspek kehidupan di sepanjang tahun dengan niat yang satu – semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala.
Wallahu ’alam.
Khas Artikel Ramadhan
Sumber : www.mykhilafah.com
ATSAR NABI SAW
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan